Calon Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan individu terbaik untuk memimpin negara disaat kritikal ini.

"Saudara, kalau ditanya saya, kalau ditakdirkan kamu sekarang, saya jawab dalam keadaan sekarang lebih baik Tun Mahathir pimpin negara Malaysia.

"Saya sebut ini dengan ikhlas mengenali beliau, saya kasihkan beliau sebagai bapa dan pemimpin, saya lawan beliau dan sekarang akui beliau individu terbaik untuk terajui Malaysia ini," katanya.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Mohd Isa.


Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Okt ini sebagai hari pengundian dan Selasa depan sebagai hari pengundian awal.