KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak seharusnya menunggu satu lagi tragedi seperti nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak sebelum kadar elaun petugas berkenaan dinaikkan.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK), Dr Muhammad Yassin menggesa kadar elaun itu dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM300 bagi setiap penerbangan pergi balik, iaitu sekurang-kurangnya setara dengan kadar yang diterima Ahli Parlimen ketika menghadiri persidangan Parlimen.
"Jangan biarkan kadar yang sama kekal sehingga tragedi seterusnya berlaku.
"Kami cadangkan kadar elaun FDS dinaikkan kepada RM300 bagi setiap penerbangan pergi balik, sekurang-kurangnya setara dengan kadar elaun yang diterima Ahli Parlimen bagi menghadiri persidangan Parlimen," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.
Muhammad Yassin berkata, HDK menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menyemak kadar berkenaan, namun berpandangan langkah itu sudah terlalu lewat.
"Kami berharap kerajaan tidak lagi menangguhkan semakan dan kenaikan kadar elaun kepada jumlah yang lebih munasabah berdasarkan risiko tugas," katanya.
Tambahnya, pada masa sama kadar berkenaan perlu disemak secara berkala dan pada masa yang bersesuaian, bukan dibiarkan kekal sehingga berlaku tragedi seterusnya.
Dalam kejadian Selasa, juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan maut selepas helikopter FDS yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Sarawak.
Ketika ini, kadar elaun FDS masih kekal RM30 sejak 1978 dan dilihat tidak lagi sepadan dengan risiko yang ditanggung petugas kesihatan ketika menjalankan tugas.