Pakatan Harapan (PH) bersumpah untuk tidak langsung 'menjamah' duit rakyat sekiranya mereka berjaya mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Naib presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sumpah tersebut akan dilaungkan sekiranya mereka diberikan mandat berkenaan.

“Macam mana rakyat boleh yakin dengan satu pihak untuk jaga amanah negara kalau pemimpinnya menunjukkan contoh tak baik?

"Saya tak boleh bayangkan kalau kita tak boleh beri pilihan pada rakyat... Tak boleh la macam tu,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media selepas menghadiri program sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Taman Gadong Perdana, Melaka, malam tadi.

Turut berada pada majlis yang dihadiri kira-kira 300 penyokong pakatan pembangkang itu ialah Ketua Pembangkang Melaka yang juga Setiausaha PH negeri, Khoo Poay Tiong dan Ketua PPBM Tangga Batu, Mohd Rafiq Naizamohideen.

Dalam pada itu, Mukhriz yang juga timbalan presiden PPBM turut berkata, gabungan pembangkang itu akan memperketat undang-undang negara untuk memastikan tiada pihak yang menyalahgunakan kuasa.

Tegasnya, semua jawatan berkepentingan seperti Ketua Audit Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Peguam Negara perlu dipilih melalui satu jawatankuasa pilihan melalui Parlimen dan tidak hanya bersandarkan pengesyoran perdana menteri semata-mata.

"Satu daripada janji PRU ialah untuk perketatkan undang-undang negara supaya tak ada langsung ruang untuk disalah guna mana-mana pihak.

"Pelantikan jawatan tinggi dalam kerajaan, peguam negara, audit, gabenor termasuk KP SPRM, semua ini mesti melalui jawatankuasa pilihan dalam parlimen," katanya lagi.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam ketika diaju soal kesediaan mencabar kerusi tradisi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah di DUN Bakar Bata berkata, beliau bersedia untuk diletakkan di mana-mana kawasan.