Semua parti yang berada dalam Pakatan Rakyat perlu terus kekal dalam gabungan tersebut kerana ia adalah alternatif terbaik kepada rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional (BN), kata Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Kamaruddin berkata dalam keadaan ekonomi Malaysia yang tidak menentu, rakyat memerlukan sebuah gabungan parti alternatif kepada BN untuk mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, jika ada antara parti gabungan dalam Pakatan Rakyat memutuskan untuk berjuang secara bersendirian, ia bukan hanya merugikan parti tersebut tetapi juga kepada rakyat Malaysia yang mahukan perubahan.

"Pakatan Rakyat adalah alternatif terbaik untuk menggantikan Barisan Nasional dalam keadaan ekonomi negara yang agak lemah.

"Rakyat Malaysia tentunya mahukan sebuah kerajaan yang cekap dan ditadbir oleh parti yang lebih baik berbanding BN.

"Jika Pakatan Rakyat berpecah, harapan rakyat Malaysia untuk mendapatkan pemerintah yang lebih baik daripada BN akan terkubur," katanya kepada Astro AWANI.

Katanya, segala permasalahan yang melanda Pakatan Rakyat harus diselesaikan dengan segera sebelum PRU14 kerana jika dibiarkan berlarutan ia boleh menghakis keyakinan rakyat.

Beliau menjelaskan, pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat tidak seharusnya membuat kenyataan yang boleh menguris hati parti-parti lain dalam gabungan tersebut.

"Pemimpin utama Pakatan Rakyat perlu segera mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam Pakatan Rakyat.

"Kita tidak boleh lagi saling tunding menunding mencari salah antara satu sama lain sebaliknya, selepas kemelut di Selangor, kita perlu kembali bersama dan bekerja sebagai satu pasukan.

"Jika kita terus bercakaran, keyakinan masyarakat kepada Pakatan Rakyat akan terhakis dan tidak lagi dianggap sebagai alternatif kepada BN." katanya lagi.

Kamaruddin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng yang menegaskan partinya tidak takut berjuang bersendirian sekiranya perlu bagi mempertahankan prinsipnya.

Semalam, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan Pakatan Rakyat tidak mungkin akan dapat mengambil alih Putrajaya jika salah sebuah parti komponennya keluar daripada pakatan tersebut.

Kenyataan Guan Eng itu disanggah oleh penganalisis politik, Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin yang berpendapat jika DAP atau mana-mana komponen parti di dalam Pakatan Rakyat mahu terus kekal sekadar sebagai pembangkang, mereka bolehlah berjuang sendirian.

Sementara Dr Maszlee Malik pula berpendapat jika DAP mahu melihat perubahan yang menyeluruh serta ingin mewujudkan polisi-polisi yang lebih baik kepada rakyat, mereka haruslah bekerjasama dengan PR menuju ke arah kerajaan yang baharu.

Dalam pada itu, Prof Dr Jayum Jawan berpendapat jika benar DAP keluar daripada Pakatan Rakyat, ia akan memberi peluang yang cerah kepada Barisan Nasional dalam PRU14 akan datang.