Di sebalik krisis yang berterusan, parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN) sentiasa bersedia untuk menjalinkan kerjasama politik dengan parti Islam itu.

Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa bagaimanapun menegaskan, PAS perlu bersetuju dan mematuhi kerangka penubuhan Pakatan Rakyat yang baharu.

"Mereka dialu alukan, selagi mana PAS bersetuju dengan bingkai kerangka bersama (Pakatan Rakyat) yang baharu nanti," kata Mujahid pada sidang media selepas pelancaran PAN peringkat negeri Pulau Pinang.

Pada masa sama, Mujahid yang juga Pengerusi PAN Pulau Pinang turut mengumumkan sekurang-kurangnya 56 orang kepimpinan PAS dari lima kawasan di negeri itu telah menyertai jawatankuasa penaja parti baharu itu.

Pada Isnin, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli optimis, sebuah pakatan pembangkang yang baharu dapat dibentuk di sebalik krisis dan percakaran demi percakaran antara PAS, DAP dan PAN.

Beliau antara lain percaya proses perundingan dengan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan membuahkan hasil positif.