KUALA LUMPUR: Sebuah parti politik baharu, Parti Kuasa Rakyat (PKR), bakal dilancarkan dalam masa yang terdekat.

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini, Kamaruzaman Yaakob, 70, telah mengadakan pertemuan dengan beberapa ahli politik dan badan bukan kerajaan, bagi membolehkan parti itu, dirasmikan pada 10 Oktober ini.

FMT memetik sumber sebagai berkata, Kamaruzaman berasakan perlu untuk mengembalikan falsafah politik Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak, iaitu demokrasi sosial.

“Beliau merasakan UMNO dan parti sepertinya telah bergerak terlampau kanan, dan ada keperluan untuk membuat jajaran semula arus politik agar lebih mengutamakan rakyat, dengan idea berpaksikan demokrasi sosial.

“Kamaruzaman berasal dari Temerloh, kawasan di mana lahirnya Rejimen Kesepuluh Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (MLNA), yang terlibat secara aktif melawan British di Pahang. Semangat nasionalisme dalam dirinya masih tinggi,” kata sumber itu kepada FMT lagi.

Seorang lagi sumber memberitahu FMT, sekurang-kurangnya tiga bekas Ahli Parlimen PKR bukan Bumiputera yang terlibat dalam Langkah Sheraton, akan dibawa masuk ke dalam parti baharu itu.

Sumber tersebut berkata, arah tuju parti berkenaan dikatakan mirip dengan ideologi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sementara itu, portal The Malaysian Insight melaporkan, Kamaruzaman merupakan bekas presiden Kesatuan Pelajar Universiti Malaya sekitar 70an, dan merupakan pemimpin pelajar yang terlibat dalam demonstrasi Baling.

Demonstrasi itu, antara lain bertujuan untuk membantah penurunan mendadak harga getah yang memberi kesan besar kepada ribuan pekebun kecil ketika itu, dan akhirnya Kamaruzaman ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau mungkin jarang kelihatan dalam kaca televisyen membincangkan isu semasa, tetapi beliau masih Kamaruzaman yang sama. Keresahan dan kesusahan rakyat  adalah keutamaannya, terutamanya yang melibatkan orang miskin.

“Tahap kefahamannya dalam politik sentiasa mengagumkan, selain seorang penceramah yang hebat. Kamaruzaman juga bukan individu yang mudah dibeli.

"Saya percaya jika beliau sertai UMNO sejak awal, sudah pasti beliau tersenarai sebagai menteri, tetapi Kamaruzaman enggan terlibat dan lebih berpegang kepada prinsipnya,” kata sumber itu kepada Malaysia Chronicle.