KUALA LUMPUR: Pas akan terus bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menyokong sebarang keputusan yang akan diputuskan oleh kabinet ketika ini.

Pendirian itu disuarakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan pada Khamis.

"Pas tegas menyokong sistem Raja Berperlembagaan dalam kerangka keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Pas berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam mendukung semua keputusan yang telah diputuskan oleh Kabinet," katanya.

Beliau dalam masa sama turut meminta agar semua pihak untuk terus bersama-sama dan mengenepikan perihal politik terutama ketika negara berdepan dengan situasi sukar COVID-19 ini.

"Pas menyeru semua pihak untuk kekal bersatu padu dan mengenepikan politiking dalam menguruskan negara ketika situasi pandemik COVID-19.

"Kestabilan politik serta perpaduan rakyat sangat diperlukan dalam menghadapi ancaman pandemik," tambah beliau.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Istana Negara turut mengesahkan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh kerajaan belum mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

BACA: Agong zahir dukacita, pembatalan Ordinan Darurat dibuat sebelum perkenan Baginda