Pucuk pimpinan tertinggi PAS digesa membuat pendirian rasmi berhubung kedudukan anggota parti itu yang menyertai parti baharu Gerakan Harapan Baharu (GHB).

Gesaan itu dibuat anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad yang mahukan jawatankuasa pusat PAS mengadakaan mesyuarat untuk memutuskan perkara itu segera.

Jawatankuasa itu juga hendaklah mengeluarkan surat rasmi kepada setiap anggota parti yang menyertai GHB agar mereka dapat memberi maklum balas sewajarnya.

Khalid yang dinamakan sebagai anggota jawatankuasa interim GHB berkata pada masa ini terdapat pelbagai pandangan dan cadangan mengenai kedudukan anggota PAS yang menyertai parti baharu itu, namun pucuk pimpinan tertinggi PAS masih belum membuat sebarang keputusan rasmi.

"Sekarang ini banyak sangat pandangan dan kita sendiri pun sudah malas mahu respon. Kita mahukan pandangan yang rasmi," katanya ketika ditemui pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri, Rabu.

Pada 13 Julai lalu, beberapa pemimpin kanan PAS daripada kumpulan progresif parti itu yang tewas dalam pemilihan parti mengumumkan akan menubuhkan GHB bertujuan menyatukan semula parti politik pembangkang.

Gerakan itu dipengerusikan bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, manakala anggota jawatankuasa interimnya terdiri daripada bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, bekas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub serta bekas pemimpin kanan parti seperti Dr Mohd Hatta Ramli, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Khalid.

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar ketika diminta enggan mengulas mengenai penubuhan GHB termasuk kedudukan anggota PAS yang menyertai GHB.

Beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan tertinggi PAS.

"Saya tidak tahu secara terperinci mengenai perkara itu, dan saya bukan anggota jawatankuasa tertinggi PAS. Saya hanya Ketua PAS kawasan Pokok Sena sahaja," katanya sambil menyatakan bahawa hatinya masih setia kepada PAS dan tidak bercadang menyertai mana-mana parti atau gerakan lain.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali menggesa anggota parti agar tidak terburu-buru meninggalkan PAS hanya untuk menyertai parti Gerakan Harapan Baru (GHB).

Katanya, kelompok pemimpin PAS itu perlu berfikir panjang sebelum memutuskan mahu menyertai GHB kerana ia akan memberi pelbagai kesan dalam jangka panjang.

Pada sidang media di pejabat PAS di KUALA TERENGGANU, beliau menegaskan berasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat itu memandangkan beliau adalah orang lama yang sudah masak dengan 'sepak terajang' dunia politik tanah air.

Katanya empat tahun lalu beliau pernah memberi ingatan yang sama kepada bekas Exco kerajaan PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa supaya tidak 'terperangkap' dengan UMNO namun katanya, nasihat itu tidak didengari sehingga Hasan akhirnya dipecat daripada PAS.

"Jadi, kepada 'adik-adik' saya ini (pemimpin PAS yang menjadi pelopor kepada penubuhan GHB)...saya nak ingatkan sekali lagi...kalau dulu UMNO tapi sekarang saya nak ingatkan, jangan terperangkap dengan DAP," katanya.

Mengulas lanjut Mustafa tidak bersetuju keanggotaan golongan tersebut dilucutkan daripada PAS.

"Pada waktu ini jika ada pimpinan yang mencadangkan supaya wakil-wakil rakyat PAS (Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri yang menjadi penggerak GHB) ini dipecat, saya akan menentang cadangan itu.

"Sebabnya, bagi mereka masa untuk berfikir," katanya.

Namun Mustafa berkata beliau bersedia untuk menentang mana-mana calon daripada GBH kalau mereka bertanding pada pilihan raya akan datang.

"Tubuh parti baru dan lawan PAS, saya akan lawan mereka, ia mudah saja, bukan payah sangat," katanya.