KUALA LUMPUR: Pas menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih tegas menegur DAP supaya menghentikan tindakan yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Gesaan itu disuarakan Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man susulan cadangan daripada seorang pemimpin DAP mengenai lantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam (Jawatankuasa Khas).

Tuan Ibrahim berkata, DAP sekali lagi menunjukkan taring dalam kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) apabila mengeluarkan kenyataan yang mencampuri urusan agama Islam.

"Hakikat ini dilihat daripada kenyataan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham baru-baru ini.

"Walaupun Ngeh telah menyatakan maaf dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengatakan kenyataan beliau bersifat peribadi, rakyat kenal sikap DAP yang tidak pernah diam dari menyentuh dan mencampuri urusan umat Islam.

"Tidak sepatutnya kenyataan sensitif seperti itu dikeluarkan oleh seorang Ahli Jawatankuasa DAP Pusat," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau turut mengingatkan bahawa, Ngeh pernah bercakap di Parlimen terdahulu pada tahun ini berkenaan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam di luar negara.

"Beliau juga pernah menggesa semua pihak supaya menghormati dan tidak mempertikaikan hak orang Islam yang murtad pada tahun 2014 lalu," tambahnya.

Dalam kenyataan pada 28 Dis lalu, Ngeh mencadangkan bukan Islam dan juga seorang ahli Badan Peguam yang pakar perlembagaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa yang mengkaji bagaimana untuk menyeragamkan undang-undang syariah dan Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu bagaimanapun mencetuskan kritikan keras daripada pemimpin parti Melayu termasuk dalam kalangan parti kerajaan sendiri.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titahnya semalam meminta ahli politik khususnya bukan Islam untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Sebelum itu, Loke menjelaskan, cadangan Ngeh adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa itu.

Justeru, Tuan Ibrahim menzahirkan kebimbangan dengan kenyataan-kenyataan seperti itu yang dilihat seolah-olah mendapat restu pihak yang berkehendakkan kelangsungan kuasa.

Pada masa sama, Pas katanya, mendukung penuh titah Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) supaya orang bukan Islam tidak mencampuri hal ehwal umat Islam.

"Pihak berkuasa perlu ambil tindakan sepatutnya bagi memadamkan persepsi rakyat bahawa isu 3R ini hanya terpakai kepada Perikatan Nasional sahaja.

"Sebaliknya, jika melibatkan PH-BN-DAP, ia disenyapkan.

"Pas terus menyeru agar umat Islam dan Melayu bersatu teguh mempertahankan hak dan memelihara negara demi kesejahteraan Malaysia," kata Tuan Ibrahim.