PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung kenyataan beliau yang mendakwa parti Islam itu sebagai sebuah "parti ajaran sesat".

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata kenyataan Tengku Adnan itu akan dirujuk kepada Lajnah Undang-Undang PAS bagi tindakan susulan.

"Kita mengecam kenyataan Tengku Adnan yang menuduh‎ PAS sebagai sebuah parti politik yang membawa ajaran sesat dan memesongkan akidah umat Islam.

"Kita akan mendapatkan nasihat daripada Lajnah Undang-Undang bagi mempertimbangkan tindakan undang-undang kepada Setiausaha Agung UMNO itu," katanya seperti dipetik oleh Harakahdaily.

Tengku Adnan dalam satu ucapannya pada Ahad dilaporkan berkata PAS sebuah parti yang menyebarkan fitnah dan menyalahgunakan ayat Al-Quran untuk kepentingan politik.

Beliau sebaliknya menyifatkan UMNO sebuah parti orang Melayu yang dapat memastikan akidah umat Islam di negara ini tetap terpelihara.

Tengku Adnan berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sebagai penutup Multaqa Kebangsaan Biro Agama UMNO di Kuala Lumpur.