PENDANG: Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim menzahirkan keyakinan bahawa parti itu mampu mempertahankan negeri Kedah, Kelantan, dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor juga tidak boleh dijadikan indikator sebenar dalam menentukan kejayaan parti berkenaan dalam PRU15.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pendang, beberapa perkara dilihat menjadi punca kepada kemenangan BN di kedua-dua negeri itu seperti perpecahan parti pembangkang, pertembungan BN-PN yang berada dalam kerajaan selain peratusan keluar mengundi yang rendah.

"(Untuk negeri) Kedah, Kelantan dan Terengganu, insya-Allah tidak ada kesan (kepada kerajaan negeri dalam PRU15), mungkin lebih (banyak kita akan menang) dan (pencapaian akan jadi) lebih baik.

"Bagi saya, dengan keadaan prestasi yang berlaku (di mana) BN menang di (PRN) Melaka dan Johor bukan menjadi indikator di peringkat nasional (PRU15), ia bukan menjadi penanda aras untuk itu.

"Ini disebabkan pada masa itu, pembangkang pun berpecah, PN yang berada dalam kerajaan bertembung dengan BN (yang juga berada) dalam kerajaan. Ini satu perkara yang pelik, pengundi pun confused, PN itu kerajaan, BN itu kerajaan, tetapi kita bertembung, pembangkang pula berpecah," ujar beliau.

Awang berkata demikian ketika sidang media Program Jom Masuk TVET@KSM bersama Komuniti Pendang, di Dewan Cenderawasih pada Ahad.

Rabu lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan keputusan yang dibuat kerajaan negeri untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga tamat penggal ini bukanlah disebabkan parti Pas 'takut' sekiranya kalah dalam PRU15.

Sebaliknya, menurut beliau, ia adalah bagi membolehkan kerajaan Kedah meneruskan kerja pentadbiran serta menguruskan negeri tanpa sebarang gangguan dan 'percaturan' politik pihak tertentu.

Untuk rekod, didalam PRN Johor, BN telah memenangi 40 kerusi DUN, berbanding PN yang hanya menang tiga kerusi, selain gabungan PH-MUDA (13 kerusi DUN).