Pemuda UMNO Kedah menggesa Pas bertindak menyingkirkan unsur-unsur sabotaj ataupun 'gunting dalam lipatan' yang masih ada di dalam parti mereka.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Pas perlu 'membersihkan' beberapa pemimpin yang masih ada demi memastikan parti itu tidak terus-menerus dirosakkan daripada dalam.

"Individu seperti Mahfuz Omar dan beberapa pemimpin lain seharusnya dikeluarkan demi keutuhan Pas.

"Kita juga yakin unsur 'Harum Manis' dalam Pas perlu disingkirkan secara total untuk memastikan parti itu terus relevan dan kekal sebagai pilihan untuk Melayu dan Islam," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Pas akan putuskan kerjasama dengan PKR - Majlis Syura

BACA:
Tiga Exco Pas kerajaan Selangor kekal sehingga DUN bubar - Pesuruhjaya Pas Selangor

Pada Khamis, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh mengesahkan parti itu akan memutuskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tegasnya, apa saja keputusan politik termasuk urusan di Selangor akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi berkata, Pas negeri itu mengekalkan khidmat tiga exconya dalam pentadbiran Kerajaan Selangor sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Ujarnya, khidmat tiga exco itu perlu dikekalkan kerana ia adalah mandat yang diberi oleh rakyat pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Shaiful menjelaskan, Pemuda UMNO Kedah amat menghargai pendirian istiqamah Pas yang bertindak memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR demi menghormati kehendak dan kemahuan akar umbi di dalam muktamar mereka baru-baru ini.

"Pendirian ini jelas amat konsisten dan Pemuda UMNO Kedah amat menghormati prinsip Majlis Syura yang dilihat tidak mahu membelakangkan akar umbi dalam membuat apa-apa keputusan penting.

"Kita juga yakin, keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Pas ini penting demi membersihkan imej mereka sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan Melayu.

"Umum sedia mengetahui bahawa Pas sebelum ini terpaksa mengorbankan prinsip dan pendekatan demi memelihara hubungan sesama pakatan pembangkang bagi menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan tindakan tersebut nyata memberi kesan yang tidak baik kepada PAS yang terpaksa menanggung liabiliti liberal DAP dan moral beberapa pemimpin PKR," tegasnya.

Bagaimanapun ujar Shaiful, Pemuda UMNO Kedah secara dasarnya masih menganggap Pas adalah lawan yang patut dihormati dan disegani.

"Walaupun terpaksa bertembung di dalam pilihanraya, kita yakin bahawa UMNO dan BN masih menghormati Pas sebagai sebuah parti pembangkang yang mempunyai prinsip serta pendirian utuh selain mengamalkan politik matang yang seharusnya dihormati.

"Tindakan menamatkan tahaluf siyasi bersama PKR ini perlu dianggap sebagai langkah politik yang besar untuk tidak membelakangkan prinsip dan pegangan perjuangan," katanya.

BACA: Kerjasama UMNO-Pas fokus perjuangan Islam - Hishammuddin

BACA:
Pembentangan RUU 355 hasil perpaduan UMNO dan Pas - Abdullah

Dalam pada itu tambah Shaiful, pihaknya turut menyarankan agar dialog ummah melibatkan UMNO dan Pas diteruskan.

"Walaupun tidak berada dalam satu pasukan, keterbukaan dan jiwa besar UMNO perlu disambut.

"Polemik agama dan bangsa perlu diselesaikan dengan segera dan UMNO tidak boleh bersifat bersendiri dalam hal ini.

"Usaha UMNO perlu mendapat kerjasama dan persetujuan daripada pihak lain khasnya daripada Pas. Cara berpolitik untuk masa akan datang perlu berubah, keutamaan isu ataupun maslahah ummah perlu dijadikan ukuran utama," jelasnya.

Katanya lagi, Pemuda UMNO Kedah juga memohon Pas terus konsisten dalam mempertahankan keputusan yang dibuat.

"Kita yakin PAS sama sekali tidak berhelah demi mendapatkan kembali sokongan kelompok tertentu. Pemuda UMNO Kedah yakin Pas mampu bertanding dan menang atas prinsip tertentu daripada terpaksa menanggung beban pihak yang lain.

"Bagi kita, tindakan berani Pas dilihat kembali memberi nafas baru terhadap agenda politik Melayu Islam di dalam negara dan ianya perlu disanjung tinggi," ujarnya.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerjasama UMNO dan Pas membuktikan kematangan kedua-dua parti terutama dalam fokus perjuangan Islam.

Jelasnya, ia sekali gus dalam agenda Islam yang lebih besar dalam landskap politik negara.