PAS Perak menyokong kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan parti itu kini di peringkat pembersihan selepas beberapa ahli yang tidak setia mula meninggalkan parti.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, Abdul Hadi dengan jelas mahukan golongan berkenaan berada di luar agar tidak mengganggu perjalanan parti.

Menurut beliau, PAS Perak menyokong dan menghormati pendirian presiden parti dengan mengharapkan ahli-ahli PAS meneruskan agenda perjuangan parti seperti mana yang dimahukan oleh Abdul Hadi.

"Kalau mereka masih ada di dalam mereka mungkin mengganggu perjalanan parti dan contohnya sebagai yang dipertua PAS kawasan jadi kalau dia ada sebagai Yang Dipertua PAS kawasan tetapi dia masih berfikran berpendirian tidak sama maka dia menggangu perjalanan parti.

"Maka lebih baik mereka tidak berada di dalam organisasi yang boleh membantu merencat perjalanan parti,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima borang kemasukan bekas Adun DAP Bercham, Sum Sheok Leng untuk menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS di pejabat Perhubungan PAS Perak di Ipoh pada Jumaat.

Menurutnya, memang sudah ada satu arahan daripada pucuk pimpinan parti itu yang melarang ahli parti di semua peringkat menggabungkan diri ataupun terlibat dengan Gerakan Harapan Baharu, GHB.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Norazli Musa pula meminta ahli PAS berfikir sebelum melangkah keluar meninggalkan parti itu memandangkan GHB masih belum diketahui statusnya sama ada NGO atau parti politik.