KOTA BHARU: Pas mungkin mempertimbangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sesuai untuk bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun, berkata, sehingga kini parti itu belum menerima sebarang permohonan daripada Khairy.

Beliau berkata, Pas juga tetap terbuka menerima bekas Ketua Pemuda UMNO itu.

"Pas dan Perikatan Nasional (PN) turut mengalu-alukan tokoh atau ahli daripada parti lain yang tidak bersetuju dalam muafakat politik parti mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Tahfiz Al Ikhwan Serta Pecah Tanah Fasa II, di sini, pada Jumaat.

Khairy yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kalah dalam pertandingan enam penjuru dan kerusi dimenangi calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan.

Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi pada PRN, Tuan Ibrahim memberitahu, Pas belum membincangkan perkara itu dan menyerahkannya kepada majlis tertinggi dan jawatankuasa perunding parti.

Bagaimanapun katanya, Pas sudah meninjau simulasi umum untuk memberi fokus kepada negeri yang boleh memenangi PRN.

"Calon muka baharu kira-kira 40 peratus dan kita minta Muslimah dan Pemuda boleh menyenaraikan nama yang sesuai untuk tapisan sebagai calon," katanya.

Tuan Ibrahim turut memberitahu, Pas menerima purata seramai 5,000 ahli baharu setiap sebulan dengan sebahagian besarnya ialah orang muda.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian