SHAH ALAM: Pas menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) yakin dapat mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berdasar realiti perkembangan politik ketika ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pengaruh parti-parti lain dilihat semakin merudum dan tidak lagi mampu menjadi harapan rakyat.

Beliau menjelaskan, ia dapat dilihat kepada situasi ketika Pakatan Harapan (PH) yang menerajui kerajaan Pusat selepas PRU14 hanya mampu bertahan 22 bulan.

“Pas sudah berada dalam satu keadaan yang berbeza berbanding suatu ketika dahulu. Kita pada hari ini dalam perjalanan politik negara, sudah terlalu hampir dengan kuasa.

“Saya yakin pada PRU akan datang, kita akan jadi kerajaan yang kukuh di Putrajaya. Kita sepatutnya menang pada PRU lepas, tetapi ada hikmah yang tersembunyi kerana semua yang berlaku ada hikmahnya.

“ALLAH SWT mentakdirkan PH mentadbir 22 bulan, lepas itu kita (Perikatan Nasional) menjadi kerajaan.

Semua ini kalau diperhatikan, walaupun kita rasa kecewa, tetapi sebenarnya terlalu banyak hikmah. 22 bulan dahulu Tuhan nak tunjuk kepada kita khususnya rakyat Malaysia, PH hanya harapan setinggi gunung, berderai menjadi debu,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas ke-62 pada Khamis.

Dalam pada itu beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan mendakwa, pengaruh parti-parti Melayu lain dalam gabungan Kerajaan Perpaduan dilihat telah berkurangan, sekali gus menjangkakan pertembungan pada pilihan raya akan datang hanya melibatkan antara Pas dan DAP.

Malah beliau juga mendakwa pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin bertahan dalam tempoh tiga penggal berdasarkan pandangan penganalisis politik.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian