KUALA LUMPUR:Pas menegaskan tidak mahu terlibat atau dilibatkan dengan sebarang polemik yang membawa negara kepada kancah perpecahan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keadaan tersebut sekali gus boleh mengundang  kepada ketidakstabilan, ancaman terhadap keamanan dan kehidupan ekonomi rakyat.

Justeru, tegas Ahli Parlimen Kota Bharu itu, Pas bertekad memperkasakan Gagasan Muafakat Nasional (MN), di samping mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Maka Pas menyeru rakan-rakan politik terutama di pihak kerajaan agar terus berlapang dada, bertolak ansur serta mengambil iktibar daripada peristiwa lampau demi maslahat rakyat yang memerlukan kepimpinan yang baik dan berintegriti.

"Pas amat percaya hanya perpaduan yang sejati dan ikhlas sahaja mampu membawa kepada pembinaan negara yang harmoni, maju, bersatu padu serta saling menerima dan hormat menghormati antara rakyat pelbagai kaum, agama, adat resam dan budaya di negara kita yang tercinta ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata Pas tegas berpandangan aspek perpaduan amat penting dalam proses bina negara demi kepentingan rakyat.

Katanya, Pas berpandangan semua pihak perlu komited, jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan pemerintahan dan pentadbiran negara.

"Selepas bersama memimpin ke arah perpaduan ummah melalui MN, dikuti menyelamatkan negara melalui persefahaman menubuhkan kerajaan PN, Pas berpandangan semua pihak perlu komited, jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan pemerintahan dan pentadbiran negara terutama di zaman dunia umumnya berada dalam keadaan yang amat sukar," katanya.

Terdahulu, Presiden Pas berkata Datuk Seri Abdul Hadi menolak sebarang usaha untuk membentuk pakatan baharu dan beriltizam untuk memperkasakan MN dan PN.