KUALA LUMPUR: Pas akan menolak mana-mana pihak dan kumpulan yang menjejaskan kekuatan Islam dalam menerajui politik negara.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaimanapun menegaskan partinya boleh menerima golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.

Dalam satu tulisan Minda Presiden Pas di laman Facebooknya pada Jumaat, Abdul Hadi berkata fiqh politik Islam menetapkan bahawa wajib ditegakkan kepimpinan Islam yang kukuh dengan asas perpaduan.

"Maka, Pas yang melaksanakan agenda Islam wajib menolak sesiapa saja atau mana-mana pihak dan kumpulan yang menjejaskan kekuatan Islam dalam menerajui politik negara.

"Pas tidak boleh bersendirian dengan menganggap kumpulannya sahaja yang mahu menegakkan Islam, tanpa disertai oleh kumpulan lain dalam kalangan umat Islam.

"Maka mereka yang menjadikan konsep perpaduan umat Islam secara tidak sempurna wajib ditolak, kerana agenda mereka hanyalah untuk kepentingan diri sendiri atau keluarga, bahkan hanya untuk puak atau kepartian sahaja," katanya.

Abdul Hadi berkata Pas juga menolak sebarang kumpulan berjenama Islam yang tidak istiqamah dan berkecamuk dengan bukan Islam.

"Namun begitu, Pas boleh menerima golongan bukan Islam yang tidak ekstrem," katannya lagi.

Ujar beliau, Pas membatalkan tahaluf (kerjasama) dengan pihak lain yang nyata bermusuh terhadap Islam secara langsung atau menentang agenda Islam.

Tambahnya, ini termasuk pihak yang menentang secara tidak langsung dengan menjadi penghalang kepada pelaksanaan Islam.

"PAS dengan tegas menolak sebarang kerjasama dengan semua pihak yang nyata atau mempunyai tanda-tanda seperti yang disebutkan di atas," katanya lagi.

 
Sumber Facebook abdulhadiawang