KUALA NERUS: Pas yakin akan menang dengan majoriti lebih besar sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman diadakan semula.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu juga bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku terhadap landskap politik negara.

"Insya-Allah, kalau ada PRK Parlimen Kemaman, (akan menang dengan majoriti lebih banyak) berdasarkan 'mood' semasa," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Stadium Tertutup Gong Badak di sini pada Khamis.

Ditanya sama ada calon sedia ada dikekalkan atau terdapat calon lain, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat nanti.

Tambah beliau, Pas belum memutuskan sama ada akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ahmad Samsuri memberitahu, ia akan dimuktamadkan pada mesyuarat AJK Pas Pusat dalam tempoh terdekat.

"Buat masa ini, masih belum ada perincian mengenai mesyuarat itu kerana parti mahu menunggu keputusan written judgement (penghakiman bertulis) dikeluarkan terlebih dahulu.

"Belum tahu lagi (sama ada buat rayuan atau tidak), kami nak tunggu written judgement daripada hakim untuk meneliti apa yang diputuskan dalam penghakiman itu.

"Kemudian, barulah Pas akan buat keputusan...kita harap, Isnin akan dapat tengoklah penghakiman bertulis itu," katanya.

Selasa lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada PRU-15 bagi kerusi Parlimen berkenaan.

Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan tersebut setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen.

Pada pilihan raya itu, Che Alias menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan majoriti 27,179 undi. - Sinar Harian