Sesi pengumuman calon Barisan Nasional Perlis kecoh selepas sekumpulan wanita dipercayai dari Kuala Perlis melakukan protes ke atas calon yang diumumkan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N09 Kuala Perlis.

Semuanya bermula apabila Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan Datuk Azam Rashid yang membuat penampilan semula sebagai calon di DUN Kuala Perlis.

Menurut salah seorang yang dikenali sebagai Latifah, mereka tidak bersetuju dengan pucuk pimpinan yang tidak meletakkan calon tempatan bagi mewakili mereka di DUN berkenaan.

“Pasaipa (kenapa) tak bubuh (letak) calon anak Kuala Perlis?

“Kami ni dah buat kerja untuk dia selama ni. Tak patut la buat macam ni sebab anak Kuala Perlis pun berpendidikan juga,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Jelasnya lagi, mereka mahu menghentikan operasi jentera politik di sana malah mahu menanggalkan semua bendera yang telah dipasang.

“Kami tak mau undi pun, bendera semua kami dah nak keluarkan,” katanya lagi sebagai tanda protes.
Sementara itu, individu yang disebut-sebut sebagai calon, Datuk Azhar Ahmad, berkata bahawa keputusan pucuk pimpinan BN itu diterimanya dengan hati yang redha.

Beliau yang merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Kangar, mengajak semua jentera untuk kembali bekerjasama demi kemenangan parti.
“Saya cuba tenangkan mereka dan saya hantar WhatsApp di dalam group minta supaya keadaan tenang. Jangan emosi. WhatsApp yang saya hantar ni lebih kurang pukul 6.30 petang setelah saya sedar bahawa tular gambar-gambar menurunkan bendera dan bilik gerakan.

“Saya pesan supaya kita pakat-pakat redha dengan ketetapan Allah kalau ditakdirkan saya tidak ada rezeki untuk menjadi pemimpin kepada sahabat-sahabat semua maafkanlah saya sama-sama lah kita berjuang lepas ni bukan untuk individu. Selamat berjuang,” katanya kepada Astro AWANI.

BACA: BN Perlis umum calon, mahu fokus kemenangan