Pasca PRK: Kebersamaan parti komponen kunci kemenangan BN di Sungai Besar - MCA

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Jun 19, 2016 01:03 MYT
Chong Sin Woon berkata rakyat khususnya kaum Cina mahu melihat kerjasama seumpama yang digerakkan BN, MCA dan Gerakan ketika berkempen.
Kebersamaan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) menjadi kunci kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil parlimen Sungai Besar pada Sabtu.
Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata antara faktor penyumbang utama kemenangan ahli parlimen Budiman Mohd Zohdi di kalangan pengundi Cina di Sekinchan adalah kejayaan membawa pulang dua nelayan Cina di Sekinchan setelah ditahan pihak berkuasa Indonesia.
"Salah satu kejayaan adalah membawa pulang dua nelayan pulang dan itu adalah faktor utama," ujarnya yang ditemui selepas pengumuman kemenangan calon BN dalam PRK di situ.
BACA: Rangkuman PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar
Tambahnya rakyat khususnya kaum Cina mahu melihat kerjasama seumpama yang digerakkan BN, MCA dan Gerakan dalam kempen pilihan raya tersebut.
"Ini adalah masa yang amat baik dan kita dapat lihat kerjasama yang baik diterima dari komponen parti, UMNO, MCA dan Gerakan bekerjasama.
"Jika kita teruskan kita akan lebih kuat dan orang ramai mahu melihat kerjasama sebegini," ujarnya.
Budiman yang merupakan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, menewaskan calon PAS dengan majoriti 9,191 undi.
Beliau yang juga merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar menewaskan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru Dr Abdul Rani Osman, dan Azhar Abdul Shukur dari parti Amanah.
PAS memperolehi 6,902 undi sementara Amanah memperolehi 7,609 undi.
#Budiman Mohd Zohdi #Chong Sin Woon #PRK Sungai Besar