Pasca PRU15: Pemimpin GPS terima baik permohonan maaf DAP - Abdul Karim

Missel Ernie Bick
November 24, 2022 11:30 MYT
Abdul Karim ditemui media di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Khamis. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menerima baik permohonan maaf pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) kepada kerajaan Sarawak serta rakyatnya.
Permohonan maaf daripada DAP yang diwakili oleh Pengerusi parti, Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook turut disambut baik oleh barisan pemimpin GPS.
Kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu, kehadiran Anthony Loke di Bumi Kenyalang untuk berjumpa secara bersemuka dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg menunjukkan petanda baik untuk memperbaiki hubungan antara parti-parti tersebut.
"Pertama sekali, tindakan Anthony Loke itu sangat berbesar hati kerana kedatangan beliau adalah petunjuk yang sangat bagus terutamanya apabila ia datang daripada pemimpin parti besar negara untuk turun ke negeri ini dan berjumpa Premier kita.
"Saya percaya tindakan seperti itu akan mengeratkan hubungan selepas semua ketegangan yang berlaku beberapa tahun terakhir ini,” katanya ketika ditemui media di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Khamis.
[LAPOR LANGSUNG] Pasca PRU15: Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10 - Istana Negara
BACA: "Saya mohon maaf jika menyinggung GPS dan Premier Sarawak"- Guan Eng
Tambahnya, selain kedatangan mereka secara bersemuka, tindakan susulan Guan Eng yang memohon maaf secara terbuka kepada Sarawak dan rakyatnya dalam satu kenyataan juga diyakini diterima baik oleh Premier Sarawak.
“Saya tidak tahu apa yang akan terjadi selepas ini tetapi ini adalah sesuatu yang bagus dan disusuli pula dengan permohonan maaf Guan Eng yang sebelum ini meningkatkan kemarahan rakyat Sarawak dengan komen mengatakan Sarawak akan bankrap dan tidak pandai mengurus negeri.
“Tetapi dia telah mengeluarkan kenyataan maaf dan ini adalah tindakan baik, sudah pasti Premier juga akan membalas dengan baik,” katanya.
Sebelum PRU15, Abdul Karim pernah mengatakan GPS terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali DAP disebabkan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan pasca PRU14.
#Abdul Karim Rahman Hamzah #DAP mohon maaf #Anthony Loke Siew Fook #GPS #PRU15