KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng turut memohon maaf kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Permohonan maaf Guan Eng ini hadir selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook secara terbuka membuat perkara yang sama.

Dalam kenyataan ringkasnya, Guan Eng menjelaskan keperluan untuk mengorak permulaan baru demi memelihara kemajmukan dan perpaduan masyarakat.

BACA: DAP mohon maaf kepada Kerajaan, rakyat Sarawak - Anthony Loke

"Saya memohon maaf sekiranya sebarang kenyataan saya telah menyinggung Premier Sarawak dan kerajaan GPS Sarawak.

"Masa depan negara mendahului segala-galanya. Kita sama-sama mengorak permulaan baru untuk berganding bahu demi memelihara kemajmukan, keterangkuman serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan budaya dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan semua di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] Pasca PRU15: Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung hari ini



Sebelum itu, Loke memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi GPS dan Premier Sarawak, Abang Johari di Kuching.

Dalam pertemuan itu, Loke berkata DAP memohon maaf kepada Abang Johari di atas sebarang kenyataan oleh pemimpin parti itu yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak.