KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

“Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada hari ini Khamis 24 November 2022 telah membincangkan mengenai cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Selaras dengan itu, mesyuarat bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” kata Hamzah.

PN pada jam 10 pagi tadi memulakan mesyuarat di kediaman Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, di sini,.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, beberapa pemimpin PN mula memasuki pintu masuk kediaman Muhyiddin sejak jam 9 pagi.

Antaranya, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Semalam, pemimpin PN dan BN mengadakan pertemuan di Hotel St. Regis dipercayai bagi membincangkan isu kerjasama untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, tiada kenyataan media dikeluarkan PN selepas itu.

Sementara itu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu malam bersetuju untuk menyertai Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bagaimanapun kerajaan perpaduan yang akan disertai kelak bukan diterajui Perikatan Nasional (PN).