KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi mempunyai keabsahan moral sebagai presiden UMNO dan tidak layak membuat keputusan bagi pihak parti itu berkenaan pembentukan kerajaan, kata Khairy Jamaluddin.

Bekas ahli parlimen Rembau itu menegaskan, pembentukan kerajaan baharu tidak boleh melibatkan Zahid dan Presiden UMNO itu perlu meletak jawatan.

"Perundingan pembentukan kerajaan baharu tidak boleh melibatkan @DrZahidHamidi.

“Beliau tiada lagi keabsahan moral selaku Presiden UMNO dan mesti undur segera.

"Dia mungkin Presiden atas nama, tetapi dia tidak mempunyai keabsahan moral lagi untuk membuat keputusan bagi pihak UMNO," katanya pada hantaran di Twitter.

Ahad lepas, Khairy mendesak Zahid berundur ekoran prestasi paling buruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

BN hanya memenangi 30 kerusi jauh ketinggalan berbanding Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang masing-masing memiliki 82 dan 73 kerusi.