ALOR SETAR: Dokumen tular mengenai perbincangan dalam membabitkan pemimpin Pas atau lebih dikenali sebagai PasLeak, hanyalah satu penulisan yang dilakukan oleh orang yang bodoh.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menyatakan, ini kerana dokumen yang tular itu tidak langsung menyamai format minit mesyuarat parti berkenaan.

Tambahnya, sebagai individu yang berada di dalam kepimpinan tertinggi parti, beliau tidak langsung mengetahui apa-apa perancangan seperti yang terkandung didalam dokumen tular berkenaan.

Mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang menyifatkan Pas sebagai 'ahlul-nafi', beliau menyatakan apa yang dinyatakan Ahli Parlimen Pokok Sena itu hanya menggambarkan keperibadian dirinya sendiri.

"Tidak ada (langsung perbincangan), saya kalau bincang benda perang Amerika (perkara penting), saya tidak tulis, benda-benda macam itu orang tidak tulis, orang (yang) tulis itu orang bodoh sahaja, (apa benda) tulis bagi orang baca, saya berada dalam hierarki kepimpinan Pas ini lama (tidak ada benda ini).

"Kelmarin, saya ada baca Mahfuz kata (Pas amal) budaya penafian, itu (sifat) dia sahaja, dia selalu buat lain cakap lain, mungkin dia sahaja, bagi kita kalau benda (itu) ada, ada, kalau tidak ada, tiadalah.

"Saya duduk dalam parti ini lama, minit mesyuarat kita tidak tulis macam itu, kita ada format minit mesyuarat kita, 'spelling' (dan) urutan semua ada format minit mesyuarat parti, bukan macam itu, entah siapa tulis, 'jebon' mana pergi tulis minit mesyuarat," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan penularan dokumen yang dikenali sebagai PasLeak hanyalah dilakukan orang atau individu yang mahu menngambil keuntungan dan kepentingan daripadanya.

"Instinct (firasat) saya mengatakan dokumen itu dibuat oleh team cyber trooper dibuat pihak yang nak dapat kepentingan daripada dokumen itu, bukan kepentingan daripada proses perlaksanaan dari apa yang dibincangkan itu, orang nak dapat kepentingan daripada dokumen itu.

"Contohnya Isham Jalil, Ketua Penerangan UMNO Selangor, yang desak (Naib Presiden Pas), Samsuri buat sumpah laknat, Isham Jalil ada kepentingan atas dokumen itu, dia sedang guna dokumen, orang macam ini ada potensi untuk buat dokumen itu," katanya.

Isnin lalu, Mahfuz menyatakan Pas adalah sebuah parti yang selalu menafikan kebenaran dan atas sebab itu juga Pas kini dianggap sebuah parti yang tidak boleh dipercayai oleh rakyat Malaysia.

Sebelum ini, tular beberapa dokumen di media sosial, yang mendakwa terdapat perancangan rapi untuk mempercepatkan hukuman mahkamah terhadap beberapa pemimpin kanan UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Antara nama yang disebut sebagai ‘perancang utama’ dalam dokumen itu ialah Naib Presiden Pas, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut didakwa mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti politik lain.