KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan akar umbi untuk meraikan perbezaan pendapat dan tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan dalam parti.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, semua pihak harus mengambil iktibar bagaimana perpecahan dan perbalahan sesama sendiri, akhirnya mengakibatkan kejatuhan pada kerajaan masa lampau.

Tambahnya lagi, semua pihak perlu sentiasa beringat bahawa dalam berpolitik, musuh akan datang sendiri tanpa perlu dicari, baik dari dalam mahupun luar parti.

“Biar apapun yang menerjah, berikanlah perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat. Rakyat amat merindui perkhidmatan UMNO dan Barisan Nasional.

“Lawan kita tidak pernah kuat. Kita tewas kerana kita sendiri lemah dan berpecah. Pada masa yang masih ada, perbaikilah kelemahan ini.  Kita boleh berbeza pendapat dan kita raikan. Jangan kerana perbezaan pendapat kita menimbulkan kabilah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, biarpun bahtera UMNO hampir tenggelam akibat dilanda tsunami Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun, ia perlu terus dikemudi hingga mencapai destinasi.

Tegasnya lagi, adalah menjadi tanggungjawab pimpinan dan akar umbi untuk terus membetulkan sauh dan menampal bocor kapal berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, bahtera itu kemudiannya perlu dilayari semula, bersama-sama dengan pimpinan dan individu yang beliau gambarkan sebagai rakan-rakan yang masih setia, biarpun ada di antara mereka yang masih muda.

“Selalu juga didengari pendapat seberapa ramai sukakan kita, begitu juga yang tidak menyukai. Dalam keadaan sebegini, biarpun nahkoda bersilih ganti, kapal yang dikemudi pasti akan diserang.

“Saudara saudari sekalian, tsunami PRU-14 hampir menenggelamkan kapal UMNO ini.  Kita betulkan sauh dan menampal bocor kapal UMNO yang hampir tenggelam.

"Kita layari semula bersama rakan-rakan yang masih setia menuju destinasi kemenangan.  Biarpun sebahagian rakan-rakan itu masih muda, kita bersama utuh membelah badai bergelora,” katanya lagi.