KUALA LUMPUR: UMNO perlu kembali memperkukuhkan soal penjenamaan parti itu dalam usaha untuk menjadikannya kekal relevan dalam kalangan rakyat.

Gesaan itu dibuat Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh yang berpendapat, UMNO perlu bekerja keras untuk mengembalikan semula sifat parti yang dahulunya diminati, disayangi dan diingini.

Tegasnya, era kebangkitan semula UMNO dapat dilihat sewaktu zaman pemerintahan 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi beberapa siri pilihan raya yang selain ia menjadi bukti bahawa UMNO tidak pernah ketandusan dalam menyediakan ‘supply’ yang baik kepada rakyat.

“UMNO sebenarnya masih mempunyai kualiti untuk menyediakan penawaran kepada rakyat. Di hadapan saya inilah (Pemuda) ‘supply’ yang UMNO ada kepada rakyat.

“Rumah Pemuda UMNO sentiasa melahirkan pemimpin-pemimpin yang berwibawa. Tetapi walau sebagus manapun kualiti ‘supply’ yang kita ada, ia hanya sia-sia jika tiada ‘demand’ daripada rakyat jelata.

“Kita perlu akur, pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15), jenama UMNO telah terjejas teruk. Saya sendiri menerima face to face feedback berkenaan ‘branding’ parti kita ketika turun berkempen pada PRU15.

“Malah, ada tempat yang langsung tidak bercakap tentang calon Parlimen tersebut pun, sebab para pengundi terlalu banyak menekan kita berkenaan isu-isu nasional dan isu dalaman parti yang berlaku sebelum PRU15.

“Untuk UMNO kekal relevan, UMNO perlu berubah mengikut kehendak rakyat. Sekarang zaman parti politik perlukan pengundi, rakyat boleh hidup tanpa parti politik. Parti politik dengan rakyat, umpama badan dan jantung.

“Kalau badan berhenti, jantung masih berjalan, tapi kalau jantung berhenti (pengundi), kita orang-orang politik yang ‘jalan’ (kalah),” tegas Dr Muhammad Akmal.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU 2023), di sini, pada Khamis.

Dalam ucapan itu juga, beliau turut menggunakan peluang menyeru bekas ahli-ahli parti yang telah meninggalkan UMNO agar kembali ke pangkuan parti bagi mewujudkan kembali era kegemilangan parti berkenaan.

“UMNO tak mampu untuk berpecah, UMNO tak mampu untuk bertelagah, jangan kita sindir-sindir ahli parti kita yang di luar, jangan perkecilkan mereka di luar (ahli parti keluar UMNO)… mereka juga mempunyai jasa kepada parti kita.

“Tugas kita (Pemuda) adalah ambil mereka kembali duduk dalam UMNO bantu UMNO, rapatkan saf kita, bila terlalu banyak perbezaan pendapat, orang itu salah orang ini salah… hakikatnya kita perlu sedar bahawa kedudukan UMNO berada pada tahap paling bawah,” ujarnya.

Kata Dr Muhammad Akmal, kekuatan UMNO tiada gunanya jika hanya gah pada bilangan ahli parti yang ramai sedangkan kedudukan angka itu tidak diterjemahkan di dalam kerajaan yang memerintah.

“Sekarang, kita berada dalam situasi yang tidak pernah dilalui oleh mana-mana kepimpinan Pemuda sebelum ini. Parti yang selama ini kita lahir dan dewasa di dalamnya, menuntut kita menterjemahkan nilai kematangan, hasil dari proses pendewasaan yang kita lalui selama ini.

“Di sebalik gahnya UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu dan Malaysia, hakikatnya UMNO merupakan antara parti terkecil dalam konfigurasi politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini. Ada apa pada nama jika angka tidak segah namanya,” katanya lagi.