KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, parti itu perlu tetap dengan pendirian termasuk bertindak keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Ogos depan.

Tegas beliau, UMNO tidak boleh bersikap acuh tidak acuh terhadap sebarang keputusan yang dipersetujui parti.

Katanya lagi, UMNO juga jangan bermain 'silat pulut' yang akan merugikan parti itu.

"Mari sama kita perkasa parti dan kuatkan parti dan hadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Jika tadi setuju tarik diri pada bulan 8,  tarik diri bulan 8. Jangan main 'silat pulut' tak sudah-sudah kerana silat itu hanya beraksi depan pengantin lama-lama dia letih sendiri.

"UMNO ini dalam ucapan (dasar) saya kata UMNO ini gajah. Kita besar parti terbesar tetapi apa guna jadi gajah kalau masuk hutan satu ranting tak patah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC), di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohamad sekali lagi menegaskan, bahawa UMNO perlu menjadi 'induk' (ketua) dan berdiri atas kaki sendiri.

Katanya, UMNO tidak boleh terus mengharapkan insan parti lain selama-lamanya.

"Jangan kita hidup atas belah ihsan orang lain. Jika hidup sentiasa meminta belah ihsan orang, kita tidak akan bina kekuatan sendiri.

"UMNO mesti menjadi induk kepada pentadbiran negara. Itu syarat siapa-siapa yang nak bercakap dengan kita. Kedua, kita lihat sesiap sahaja yang tidak memusuhi Melayu dan Islam, boleh bercakap dengan kita.

"Kalau ada orang-orang yang masih tidak mengakui sikap bahawa UMNO adalah induk kepada negara, ini susah," ujarnya.