KUALA LUMPUR: UMNO menafikan bersikap tidak telus kerana tidak menyiarkan secara langsung sesi perbahasan perwakilan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) berlangsung.

Ketua Penerangannya, Isham Jalil menjelaskan, tindakan tersebut diambil bagi memberi ruang kepada perwakilan untuk bebas menyuarakan pandangan dan meluah isi hati mereka demi kebaikan parti.

Beliau juga menyifatkan PAU2022 sebagai 'mesyuarat dalaman' bagi perwakilan dan akar umbi parti Melayu itu.

"Pendapat saya (kalau ia disiarkan secara langsung) nanti (seolah-olah) kita sekat-sekat orang untuk berbincang secara terus terang dalam dewan itu.

"Kita kali ini dalam dewan itu, malah perwakilan pun ada kata, bincang secara telus dan terang.

"Tetapi kalau perkara ini dibuka terus kepada umum maka bukan sahaja media yang tahu (tetapi) parti-parti politik lain pun akan tahu juga apa yang kita nak bincang sebab tak boleh sekat-sekat kita bincang," katanya dalam sidang media selepas selesai hari ketiga PAU2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Jumaat.

PAU2022 | Ada usul tambahan jawatan Presiden, Timbalan tak dipertandingkan

Isham berkata demikian selepas ditanya kenapa pengamal media tidak mendapat akses penuh untuk mengikuti sesi perbahasan, tetapi hanya diberikan siaran yang ditapis sahaja dan ia disifatkan sebagai tidak telus.

Mengulas lanjut, Isham menambah perkara yang menyentuh mengenai hala tuju dan strategi parti tidak wajar didedahkan secara umum, dan perlu dibincangkan bersama ahli parti.

Bagaimanapun, beliau berkata akan cuba menjawab sebarang persoalan media sepanjang perbahasan dan PAU2022 berlangsung.

Katanya lagi, ketika ini ia adalah masa kritikal bagi parti itu.

"Tidak ada dalam peraturan UMNO yang kita selama-lamanya akan buat begitu (tertutup), tidak.

"Sebelum ini kita memang buat terbuka sahaja tetapi kali ini macam saya cakap tadi ini kepada masa kritikal.

"Kita betul-betul mahu berbincang dari hati ke hati dalam kalangan ahli, sebab itu kita buat secara tertutup," ujarnya lagi.