KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu sentiasa terbuka untuk menerima kembali ahli-ahlinya yang dikenakan tindakan disiplin termasuk mereka yang digantung atau dipecat.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Lembaga Displin UMNO katanya telah melakukan tugas-tugas mereka secara profesional dan mereka sangat terbuka dalam tindakan.

"MKT sentiasa bersikap terbuka atas saranan para perwakilan untuk menerima kembali ahli-ahli yang dikenakan tindakan disiplin.

"Dalam soal ini, kita ada perlembagaan dan peraturan dan insya-Allah kita harap rakan-rakan yang sama ada digantung, atau lebih daripada itu... kita mahu lihat selepas tindakan itu, sama ada mereka benar-benar orang parti atau benar-benar gunting dalam lipatan," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapan Penggulungan Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Tambah Ahmad Zahid, UMNO pernah menerima semula beberapa pemimpin yang dikenakan tindakan sebelum ini.

Katanya, mereka bagaimanapun tidak memburuk-burukkan UMNO dari luar.

Beberapa pemimpin UMNO yang sebelum ini dikenakan tindakan sama, namun diterima kembali ke dalam parti itu tanpa memburuk-burukkan UMNO dari luar.

"Kalau benar-benar orang parti, tidak berkokok di sana dan sini menghentam parti dari luar.

"Kalau benar sayangkan parti, mereka harus akur bahawa apa yang pernah diperlihatkan Datuk Lokman Adam itu diikuti oleh mereka. Datuk Lokman walaupun dipecat parti, beliau tidak pernah menikam parti dari luar," katanya lagi.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh, hari ini menegaskan barisan kepimpinan perlu menerima semula ahli yang dipecat dan digantung bagi memperkasa parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, UMNO kini berada di titik terendah, justeru perlu menerima sesiapa sahaja yang mahu membantu untuk memperkuatkan parti tersebut.