PBB Sarawak dapat tambahan kerusi DUN

Astro Awani
Ogos 11, 2015 02:00 MYT
ADENAN: PBB mempunyai rekod yang terbaik apabila wakil yang bertanding tidak pernah kalah dengan teruk ketika pilihan raya negeri mahupun pilihan raya umum.
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak akan mendapat lima kerusi tambahan daripada 11 kerusi baharu negeri pada pilihan raya negeri akan datang.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata penambahan itu adalah berikutan PBB diyakini akan mampu memenangi semua kerusi tambahan itu.
Buat masa ini, PBB mempunyai 35 kerusi daripada 71 kerusi yang ada di seluruh negeri Sarawak, dimana PBB mempunyai rekod yang terbaik apabila wakil yang bertanding tidak pernah kalah dengan teruk ketika pilihan raya negeri mahupun pilihan raya umum.
Selain itu, Barisan Nasional Sarawak sudah bersedia berdepan pilihan raya negeri yang boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja dalam tempoh 10 bulan dari sekarang tanpa rasa gentar terhadap saingan masing-masing.
"Bukan baru kini kita berpilihan raya, menang juga kita. Mana manapun kita menang. Kita akan menang kalau kita tidak banyak cerita sama sendiri, gaduh sama diri, gaduh itu gaduh ini. Saya ni menyindir, ada parti di Malaya, tak henti henti kelahi. Ikut PBB, tidak ada kelahi banyak," katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran PBB Cawangan Kuching di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, pada Isnin.
Sarawak kini mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah Mahkamah Rayuan baru-baru ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung persempadanan kawasan pilihan raya dengan memutuskan 11 kerusi baharu yang dicadangkan boleh digunakan pada pilihan raya negeri akan datang.
#Adenan Satem #Parti Pesaka Bumiputera Bersatu #PBB #pilihan raya