KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan membuat laporan polis terhadap individu yang didakwa melakukan tohmahan dan fitnah berkait peruntukan bagi Projek-Projek Khas RM30 juta dalam Belanjawan Kelantan 2023.

Belanjawan tersebut sudah dibentang, dibahas dan diluluskan dengan sokongan semua Ahli Dewan Negeri Kelantan dalam Persidangan kali ke-3 (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri yang ke-14 pada 27 November tahun lalu.

Pejabat Menteri Besar melalui satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil serius berkaitan laporan media berhubung pihak-pihak yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan menyalah guna peruntukan RM30 juta terbabit bagi tujuan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

Menurutnya, setiap peruntukan dalam Belanjawan 2023 diluluskan dengan penuh teratur, telus dan berintegriti.

“Berkaitan Projek-Projek Khas sebanyak RM30 juta ialah bagi peruntukan Jaminan Bekalan Makanan sebanyak RM10 juta. RM8 juta bagi projek-projek kecil, RM5 juta bagi Projek Menangani Banjir Kilat, RM3 juta bagi peruntukan Pinjaman Mikro Kredit serta RM4 juta bagi Projek Air Komuniti bawah Bekalan Sumber Air dan Bekalan Air Alternatif.

“Atas penjelasan ini, satu laporan polis akan dibuat terhadap individu terbabit untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut,” katanya di laman Facebooknya di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, pihak terlibat turut mengingatkan masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan cubaan pihak-pihak yang cuba menjatuhkan imej beliau dan kerajaan negeri.

“Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan tohmahan dan fitnah tersebut yang bermotif bagi memburukkan Menteri Besar dan kerajaan negeri ini menjelang PRN bulan depan,” ujar kenyataan itu.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Pemuda Perpaduan Kelantan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menuntut siasatan dijalankan terhadap Kerajaan Kelantan berkait dana berkenaan selain meminta penjelasan berhubung isu bayaran 800 hingga 900 ekor lembu yang dikatakan dibeli oleh kerajaan negeri itu bagi tujuan korban pada tahun 2021 dan 2022. - Sinar Harian