KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menegaskan, Ahli Parlimen tidak seharusnya dipecat atau diarah mengosongkan kerusi hanya semata-mata tidak menuruti tindakan parti yang melompat dari satu gabungan kepada gabungan lain.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini adalah kerana, wakil rakyat berkenaan tidak mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum (PRU). 

"Kami di Pejuang sangat berharap tidak ada klausa di mana Ahli-Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti kerana enggan turuti tindakan parti untuk lompat dari satu gabungan ke gabungan yang lain juga perlu mengosongkan kerusinya dan dilaksanakan pilihan raya kecil (PRK).

"Tidakkah bila sebuah parti lompat, itu juga boleh dianggap mengkhianati rakyat? Kenapa Ahli Parlimen yang tidak turuti kehendak parti untuk melompat itu pula yang perlu mengosongkan kerusi kerana dipecat, walhal mereka tidak mengkhianati mandat rakyat pada pilihan raya umum. Ini yang telah berlaku daripada enam kami yang asalnya dari Bersatu," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mukhriz (Pejuang-Jerlun) berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Sebelum ini, Mukhriz dan Tun Dr Mahathir Mohamad antara yang dipecat daripada Bersatu kerana
duduk di blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020.

Mengulas lanjut, Mukriz menambah: "Perbahasan hari ini mengatakan Ahli Parlimen mesti akur kepada keputusan partinya sendiri, tapi kita perlu ingat pada Julai dan Ogos 2021, 15 Ahli Parlimen daripada UMNO yang dikepalai oleh Bagan Datuk (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sendiri telah tarik sokongan kepada YB Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebagai Perdana Menteri.

"Walhal ada 27 lagi Ahli Parlimen UMNO yang tidak turuti tindakan Presiden mereka. Jadi siapa yang dianggap mengikut ketetapan parti sebenarnya?" soal beliau lagi.

Dalam masa sama, Mukhriz berharap tidak ada mana-mana pihak yang sengaja menggunakan undang-undang Antilompat Parti untuk memaksa pembubaran Parlimen dilakukan sebelum akta tersebut dikuat kuasakan.

"Kita semua boleh agak, siapa agaknya yang boleh mendapat keuntungan jika PRU diadakan dengan peraturan keluar mengundi yang rendah kerana rakyat tidak yakin dengan sistem demokrasi yang tergugat akibat gejala lompat ini," tambahnya