Pembangkang Perak protes, keluar Dewan

Shafiq Noordin
November 28, 2018 09:59 MYT
Koo Ham ketika dilantik sebagai Speaker DUN Perak pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama DUN ke-14 Perak pada 3 Julai lalu. - BERNAMA
Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini kecoh seketika apabila semua ahli pembangkang dari Barisan Nasional (BN) meninggalkan dewan sebagai tanda protes terhadap cara Speaker, Datuk Ngeh Koo Ham, mengendalikan persidangan.
Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa, Koo Ham sebagai Speaker seharusnya bersikap adil dan tidak boleh cenderung mempertahankan mana-mana pihak atau mencelah ketika persidangan sedang berlangsung.
"Kita tengok karakter Speaker semakin menjadi-jadi, dia nak menjawab (bagi pihak kerajaan) bila kita (pembangkang) berbahas. Keduanya, dia juga turut nak membahaskan Bajet (ketika ahli dewan lain membahaskan usul Bajet 2019).
"Speaker perlu bersikap berkecuali... jangan tunjuk belang. Kalau tunjuk belang, berat sebelah, tak boleh kendalikan dewan dengan baik. Dia mesti adil," katanya pada sidang media sebaik sahaja meninggalkan dewan.
Terdahulu, kekecohan itu berlaku apabila Saarani yang juga ADUN Kota Tampan ketika membahaskan Bajet 2019 telah mengucapkan tahniah kepada Koo Ham kerana menjadi Ahli Parlimen terkaya di negara ini melalui pengisytiharan harta yang dibuat oleh Speaker berkenaan baru-baru ini.
Namun, ucapan tersebut dibalas Koo Ham dengan mengaitkan isu rampasan kuasa kerajaan negeri oleh BN daripada Pakatan Rakyat pada tahun 2009.
Ia kemudiannya menyebabkan dewan bertukar kecoh dan kesemua ADUN BN meninggalkan dewan sementara tiga lagi ADUN PAS kekal di kerusi masing-masing.
Saarani dalam sidang medianya juga menggesa Speaker menjadi seperti pengadil di dalam perlawanan bola sepak.
"Speaker kena cekap... jadi seperti pengadil bola sepak. Kalau pengadil itu tidak cekap, tegas atau adil, maka pemain akan bertumbuk," ujarnya lagi.
#DUN Perak #keluar dewan #Ngeh Koo Ham #protes #Saarani Mohamad #speaker Dewan