KUCHING: Ketiadaan figura hebat dalam blok pembangkang di Sarawak menjadikan situasi politik di negeri ini mudah didominasi oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Demikian pandangan penganalisis politik Profesor Dr Arnold Puyok mengenai kemungkinan pertembungan parti-parti pembangkang di sesuatu kawasan yang bakal memecahkan undi.

Jelas Arnold pembangkang berdepan risiko kehilangan kerusi Dewan Rakyat jika tiada kata sepakat dicapai menjelang Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) akan datang.

"Kita juga tidak dapat melihat satu figura pemimpin yang boleh menyatu padukan parti pembangkang yang ada di Sarawak dan ini satu kekurangan yang ada pada pihak pembangkang.

"Namun jika pembangkang setuju untuk bersatu dan memilih seorang pemimpin yang mampu diangkat  sebagai seorang pemimpin yang menggabungkan parti pembangkang di Sarawak maka saya yakin mereka boleh memberikan saingan kepada GPS," kata Arnold.

Tambahnya lagi, kemenangan besar GPS pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12)  memberikan kelebihan kepada gabungan itu untuk meningkatkan undi popular sekaligus merebut kerusi pembangkang.

Untuk rekod, blok pembangkang kini menguasai 13 daripada 31 kerusi parlimen Sarawak.

Ia melibatkan tujuh wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), dua dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dua bebas, satu Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan satu Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Dalam perkembangan berkaitan, Arnold berharap pemimpin politik negara untuk tidak membuang masa bertegang leher dalam menentukan waktu yang paling wajar PRU ke-15 boleh diadakan.

Ujarnya apa yang penting adalah untuk meletakkan sebuah prinsip asas antara parti kerajaan dan pembangkang agar  tarikh pilihan raya dapat ditentukan secara damai tanpa memberi kesan kepada rakyat.

Tambah Arnold prinsip tersebut perlu dipastikan konsisten dan selaras dengan usaha untuk mengembalikan kestabilan politik ketika rakyat sedang berdepan krisis ekonomi.

"Negara perlu mengambil kira dari segi keperluan mengembalikan ekonomi dengan memastikan negara berada pada landasan yang betul dan memastikan kita sudah bersedia dari segi memberikan pendidikan dan persediaan yang cukup kepada pengundi baharu sebelum diadakan pilihan raya umum", jelas Arnold.

Tempoh penggal Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik selepas lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama  persidangan parlimen ke-14 iaitu pada 16 Julai 2018.

Bagaimanapun ia boleh dibubarkan lebih awal oleh Perdana Menteri dan PRU perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.