KUALA LUMPUR : Pemilihan anggota dalam platform 'Better Malaysia Assembly' (BMA) akan ditentukan mengikut proses melibatkan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, malah masyarakat awam, jelas Tan Sri Nazir Razak.

Bekas Pengerusi Kumpulan CIMB itu berkata, bukan semua 55 individu yang menandatangani warkah mengenai cadangan penubuhan BMA yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, akan menjadi anggota platform berkenaan.

Menurutnya dalam kenyataan pada Isnin, terdapat pelbagai pandangan serta tanggapan yang salah terhadap cadangan penubuhan BMA yang berperanan membincangkan keperluan berkenaan pembentukan dasar, reformasi dan kenegaraan.

"Warkah tersebut secara jelas menyatakan pemilihan anggota perhimpunan BMA harus mengikut proses yang melibatkan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan masyarakat sivil.

"Proses tersebut dipercayai dapat menghasilkan corak keanggotaan yang mencerminkan masyarakat Malaysia.

"Penandatangan warkah kepada Baginda YDPA adalah merupakan sekumpulan warga Malaysia daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan pandangan yang bersuara, bersatu demi kepentingan nasional," jelas beliau.

Malah, katanya beberapa tokoh penandatangan pada awalnya enggan berkongsi platform yang sama dengan yang lain, namun akhirnya bersetuju demi kepentingan negara.

"Ini selaras dengan prinsip demokrasi perundingan iaitu golongan yang bertentang pandangan dapat berbahas secara sivil untuk mencapai penyelesaian dan ruang kompromi," katanya.

Beliau berkata, BMA merupakan sebuah platform demokrasi perundingan (deliberative democracy) yang menjadi ciri penting demokrasi di banyak negara kebelakangan ini.

"Kaji selidik organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) baru-baru ini mendapati 289 platform sedemikian (wujud) di beberapa negara untuk membantu kerajaan dan Parlimen menangani isu jangka panjang yang rumit.

"Oleh demikian, BMA merupakan platform yang sesuai beroperasi dalam struktur proses demokrasi Malaysia," katanya.

Beliau dalam masa yang sama mengalu-alukan sokongan daripada ahli serta parti politik, sambil menyifatkan penubuhan BMA adalah sebagai projek bebas untuk semua parti politik.

"Malaysia kini berdepan dengan saat-saat paling mencabar dalam sejarah negara dan saya percaya kita akan menghampakan negara dan generasi masa hadapan sekiranya kita tidak memberikan cadangan dan pertimbangan terperinci dan sewajarnya berkenaan BMA," kata beliau lagi.

Terdahulu, Nazir memaklumkan bahawa peranan BMA antara lain mengenal pasti dasar khusus serta perundangan yang sering gagal untuk diteliti, selain melalui perbincangan yang terlalu lama.

Antara individu yang terlibat menandatangani warkah berkenaan ialah Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Tan Sri Azman Mokhtar, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Nur Qyira Yusri, Dr Khor Swee Kheng, Vinesh Sinha dan Nadhir Ashafiq.