Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata parti itu akan memberi tumpuan terhadap pemilihan semula, seperti yang dicadangkan oleh RoS (Pendaftar Pertubuhan).

Beliau berkata pemilihan semula akan bermula di peringkat cawangan MIC yang akan diadakan pada pertengahan bulan depan.

"Kita diberi satu tanggungjawab di bawah cadangan RoS iaitu mengadakan pemilihan semula dan kita akan buat itu saja," katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Denggi ASEAN 2015 Peringkat Kebangsaan, di sini Rabu.

Dr Subramaniam turut menegaskan bahawa beliau masih lagi ahli MIC yang sah dan pemecatan seperti yang dibuat oleh presiden Datuk Seri G.Palanivel semalam adalah tidak sah kerana Palanivel bukan lagi ahli MIC.

"Seperti dalam perlembagaan parti, kalau seseorang membawa apa-apa isu ke mahkamah, yang bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), mereka secara sendiri orang berkenaan kehilangan keahlian.

"Keputusan CWC ialah untuk mematuhi saranan RoS," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Subramanian, yang juga Menteri Kesihatan, berkata kematian akibat denggi meningkat kepada 141 dalam tempoh Januari hingga 3 Jun lepas, berbanding 70 kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Kematian akibat denggi berlaku kerana perubahan serotaip di mana setiap kali berlaku perubahan serotaip, jumlah kes akan bertambah.

"Dulu serotaip Den 2 yang paling banyak kes, tahun ini serotaip Den 1 yang paling banyak kes dan kami meramalkan kes denggi akan meningkat lagi," katanya.

Beliau berkata dalam usaha menangani penularan kes denggi ini, masyarakat tidak boleh mengharapkan tindakan daripada kerajaan semata-mata.

"Masyarakat perlu ada kesedaran yang tinggi untuk menjaga kebersihan dalam usaha mengawal penularan denggi.

"Khususnya mereka yang tinggal di rumah-rumah pangsapuri kos rendah kerana kawasan takungan air yang banyak dan kepadatan penduduk yang tinggi," katanya.

Dari segi penguatkuasaan, Dr Subramaniam berkata pihak kementerian akan memberi tumpuan kepada tapak-tapak pembinaan, di mana notis amaran akan diberikan kepada pemilik tapak pembinaan dan jika tiada perubahan dalam seminggu, tindakan menutup tapak pembinaan yang terlibat akan dilakukan.

"Sebelum ini kita hanya buat kompaun, tetapi kebanyakan pemilik tapak berupaya membayar kompaun walaupun banyak kali dikenakan kompaun.

"Jadi kami dapati penutupan tapak pembinaan lebih berkesan," katanya.