Keputusan siapa yang layak bertanding untuk kesemua jawatan bagi Pemilihan UMNO 2018/21 hanya akan diketahui dalam masa dua hari lagi.

Ketua Urusetia Sekretariat Pemilihan Datuk Azwan Aziz berkata, ini kerana pihak sekretariat masih belum selesai menyaring kesemua nama-nama yang dihantar termasuk dalam memastikan kesemua mereka tidak diisytiharkan bankrap, selari dengan peruntukan di bawah Fasal 9 (a) Akta Pendaftaran Pertubuhan 1966.

Selain itu, mereka juga harus memastikan calon-calon ini memenuhi kriteria yang ditetapkan, selaras dengan peruntukan di bawah Perlembagaan UMNO sendiri.

“Ku Nan (Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) akan mengeluarkan kenyataan media mengenai nama-nama yang layak bertanding untuk semua jawatan.

“Selain itu, calon-calon juga boleh merujuk kepada database yang disediakan di laman web UMNO Online untuk melihat sama ada mereka layak atau tidak bertanding,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses mencabut nombor bagi kesemua calon yang menawarkan diri di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

Bagi jawatan presiden, sejumlah tujuh individu telah menawarkan diri, iaitu bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Empat lagi individu yang menawarkan diri ialah Rahmat Azim Abd Aziz dari UMNO Bahagian Kota Raja, Rosile Saat dari UMNO (Bahagian Bangi), Mohd Iqbal Maricair (Bahagian Bandar Tun Razak) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin dari UMNO (Bahagian Iskandar Puteri).

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, tiga individu yang menawarkan diri ialah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa dan Mohd Afnalizam Mohd Salim dari UMNO Bahagian Pekan.

Antara yang menjadi tumpuan dalam pertandingan merebut tiga tempat Naib Presiden ialah bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.