KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar tidak akan bertanding dalam pemilihan pucuk pimpinan PKR bagi penggal 2022/2025.

Menurutnya dalam satu kenyataan, beliau sebaliknya akan menumpukan usaha menarik pengundi yang masih di atas pagar menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas naib presiden PKR itu menjelaskan, usaha menarik pengundi atas pagar itu akan dilakukan memenerusi kempen Ayuh Malaysia yang dilancarkan Rafizi Ramli baru-baru ini.

"Seiring dengan komitmen penuh saya kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan yang kita kasihi, saya akan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia," katanya.

Nurul Izzah membuat pengumuman itu selepas PKR menutup pencalonan presiden, timbalan presiden dan empat jawatan naib presiden serta lima jawatan teratas dalam sayap Wanita dan Pemuda  dalam pemilihan parti tahun ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai presiden parti itu selepas menang tanpa bertanding.

Pemilihan jawatan naib presiden bakal menyaksikan persaingan 18 calon, antaranya Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; ketua penerangan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin; pengarah komunikasi Fahmi Fadzil; ketua Wanita Fuziah Salleh; Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan bekas pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador.

Bagaimanapun, senarai penuh calon yang akan bertanding hanya akan dimuktamadkan esok sekiranya terdapat sebarang bantahan atau penarikan diri.

Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula pada 8 April dan berakhir 10 April, melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara. 

Proses pengundian bagi pemilih secara dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.