KUANTAN: Proses pengundian secara fizikal bagi pemilihan jawatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di semua peringkat pusat dan negeri di Pahang berjalan lancar sejak 9 pagi Ahad.

Pemilihan itu melibatkan seramai 38,659 ahli PKR yang layak mengundi membabitkan semua 14 cabang PKR di Pahang.

Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh berkata, proses pengundian dilakukan secara digital dan e-voting secara serentak bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

"Pada hari ini (Khamis) ahli PKR melakukan pengundian secara fizikal iaitu mereka datang ke pusat pengundian untuk membuang undi secara digital.

"Bagi pengundian secara dalam talian pula akan bermula pada 18 hingga 20 Mei ini," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau berharap semua ahli PKR dapat keluar menunaikan tanggungjawab mereka untuk parti.

Katanya, undi mereka dapat menentukan hala tuju kepimpinan parti PKR negeri mahu pun pusat.

Secara keseluruhannya, seramai 38,659 ahli PKR di negeri itu layak mengundi di mana seramai 3,620 ahli mengundi di Kuantan, Pekan (1,796), Maran (1,276), Rompin (1,583), Temerloh (3,869), Raub (1,629), Lipis (2,038), Bentong (6,874), Cameron Highlands (1,033), Jerantut (2,782) Indera Mahkota (3,677), Paya Besar (3,788), Kuala Krau (1,589) dan Bera (3,105).