KUALA NERANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin bahawa perwakilan parti tidak akan menolak dirinya yang bertanding bagi mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini pada pemilihan yang akan diadakan 18 Mac depan.

Menurutnya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada perwakilan bagi membuat pilihan terbaik dalam memilih tiga daripada lapan calon Naib Presiden yang menawarkan diri untuk bertanding, terutama dalam mengemudi UMNO bersama Presiden dan Timbalan Presiden bagi penggal 2023-2026.

Tambah Mahdzir, pemilihan bagi penggal ini adalah kali kedua beliau bertanding bagi jawatan Naib Presiden selepas menang pada tahun 2018.

"Saya serahkan kepada perwakilan di seluruh negara untuk menentukan (siapa Naib Presiden yang akan dipilih mereka).

"Saya fikir para perwakilan (melibatkan) pimpinan bahagian mempunyai justifikasi apabila mereka buat keputusan.

"Ia termasuklah tentang siapa yang patut mereka pilih untuk berkhidmat sebagai Naib Presiden dan saya yakin mereka juga tidak menolak saya," kata Mahdzir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan Mesyuarat perwakilan Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Kuala Nerang pada Sabtu.

Pada pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026, seramai lapan calon menawarkan diri bagi merebut tiga jawatan Naib Presiden termasuk Mahdzir sendiri.

Selain beliau, seorang lagi penyandang, yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut bertanding dalam mempertahankan jawatan di samping tiga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tiga lagi calon ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad; dan Ahli Parlimen Pengerang, dan calon kurang dikenali, Mohd Yusof Musa.