KUALA LUMPUR: Keputusan mengadakan Pemilihan UMNO tahun ini melegakan ahli parti untuk memilih kepimpinan baharu dan menggerakkan parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua UMNO Bahagian Kapar, Mohd Roslee Abd Hamid berkata, parti tidak ada sebab untuk menangguhkan pemilihan melainkan alasan lain ditentukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

"Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak ada sebab menangguhkan pemilihan, kalau dia hendak kekal, bertandinglah, kalau dia bertanding, dia kuat.

"Walaupun dia terpalit kes, kalau dia menang, tidak boleh hendak salahkan ahli UMNO.

"Ahmad Zahid harus tegas dengan kata-kata sendiri kerana ia akan membuatkan pimpinan akar umbi dan ahli UMNO hormat kepada beliau," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA: UMNO mesti adakan pemilihan Jun ini demi selesai krisis kepimpinan - Shahidan

BACA: Mesyuarat MT: Pemilihan UMNO mungkin ditangguhkan kerana COVID-19

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk menghantar surat kepada Ketua Pengarah RoS dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meminta nasihat dan garis panduan bagaimana untuk UMNO menjalankan pemilihan parti pada tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia dibuat selaras peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan SOP COVID-19.

Dalam pada itu kata Mohd Roslee, ahli perlu akur jika keputusan ROS kelak menyekat pemilihan diadakan tahun ini.

"Memandangkan COVID-19 dan surat yang sudah dihantar kepada RoS, ada kemungkinan ahli akan tersekat untuk hadir mesyuarat yang hanya dibenarkan separuh kapasiti bangunan.

"Jadi UMNO tidak nampak pengecut hendak buat pemilihan tetapi dengan meminta kebenaran RoS akan menyebabkan secara tersiratnya ia mungkin ditangguhkan.

"Kita bukan lagi parti pemerintah, jadi bukan kita yang tentukan bila Parlimen akan dibubar atau sahaja alsan penangguhan pilihan parti kerana hendak PRU15.

"Jadi alasan COVID-19 akan digunakan jika pemilihan ditangguhkan kerana ia berkait rapat dengan persidangan Parlimen yang juga tidak diadakan kerana alasan sama," tegasnya.

Mohd Roslee di dalam portal SuaraTV sebelum ini berkata, Zahid harus tegas untuk mengotakan janji beliau yang memberi jaminan pada Februari lalu bahawa pemilihan parti akan tetap diadakan tahun ini.

Tambahnya, ia akan membuatkan pimpinan akar umbi dan ahli UMNO hormat kepada beliau.

Katanya, pemilihan UMNO wajar dibuat sebelum PRU15 selain mengikut jadual dan Perlembagaan parti yakni pemilihan setiap tiga tahun sekali.

"Kami tidak mahu Presiden UMNO tangguh untuk kepentingan pihak tertentu yang minta dilanjutkan. Presiden kalau dia 'firm' orang akan hormat.

"Kalau tangguh, berlengah orang akan anggap dia (Zahid) takut dengan desakan dalaman parti yang minta dia letak jawatan.

"Zahid kena tegas, UMNO bukan mewah, Zahid bukan ada jawatan dalam Kabinet malah bukan Timbalan Perdana Menteri pun," tegas Mohd Roslee, memetik sebagai berkata dalam portal berita tersebut.