KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengadakan pemilihan parti seperti dijadual pada Jun.

Demikian ditegaskan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menjelaskan, sekiranya pemilihan parti ditangguh, ia hanya akan menyebabkan krisis kepimpinan yang dialami UMNO berterusan.

"Ahli Majlis Tertinggi (MT) kena ambil pendekatan ini. Akhir sekali, masalah sekarang (adalah) krisis kepimpinan telah berlaku dalam UMNO.

"UMNO mesti mengadakan pemilihan parti mengikut perlembagaan pada akhir Jun, tidak boleh tangguh.

"Kalau tangguh kita akan hadapi krisis kepimpinan (seperti) apa yang berlaku kepada saya kerana ia tidak beri apa-apa kekuatan kepada parti, tetapi menambahkan luka," katanya.

Shahidan turut berkata beliau akan mendedahkan berhubung gerakan dalam kalangan pemimpin UMNO yang cuba mendapatkan sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

BACA: Shahidan akan dedahkan gerakan sokong Anwar selepas hari raya

BACA: Zahidi sewajarnya diberi peluang ketuai UMNO Perlis - Shahidan

Bagaimanapun, kata Shahidan, beliau akan menyimpan rahsia itu jika pemilihan parti diadakan pada Jun ini.

"Lepas Raya ini pun, (kalau) pemilihan bahagian dibuat Jun, saya akan menyimpan rahsia itu. Semua itu saya akan tulis dalam thesis doktor falsafah (PhD) saya nanti," katanya lagi.

Shahidan berkata demikian pada satu sidang media khas di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu.