POLITIK
Pemimpin akar umbi UMNO digesa perjelaskan kerjasama Kerajaan Perpaduan - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled menegaskan, UMNO tidak pernah berganjak daripada prinsip perjuangannya iaitu mempertahankan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu serta institusi raja-raja. - Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Para pemimpin dan ketua cawangan UMNO digesa supaya terus memainkan peranan memberi penerangan kepada ahli-ahli akar umbi mengenai keperluan serta kepentingan penyertaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata walaupun kerjasama tersebut semakin difahami dan diterima, masih ada segelintir ahli yang keliru dan bersikap menjauhkan diri daripada parti.
"Dalam landskap politik hari ini, selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU14, tidak ada satu parti pun yang dominan. UMNO sendiri tidak pernah bertanding secara bersendirian, malah sentiasa bergerak dalam gabungan politik.
"Justeru, saya gesa semua perwakilan dan ketua cawangan agar segera memperjelaskan kedudukan ini kepada ahli. Penjelasan ini penting untuk pastikan UMNO benar-benar bersedia menghadapi PRU16," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di sini hari ini.Turut hadir, Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Rozi Mamat dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan menegaskan, UMNO tidak pernah berganjak daripada prinsip perjuangannya iaitu mempertahankan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu serta institusi raja-raja.
Katanya sebelum menyertai Kerajaan Perpaduan, UMNO telah meletakkan syarat agar kepimpinan Melayu diterima dan dipersetujui sebagai asas kepada kerjasama tersebut.
"Apa yang berubah hanyalah strategi dan susunan politik. Nilai dan prinsip perjuangan tetap tidak berganjak walaupun kita bekerjasama dengan parti seperti DAP.
"Perjuangan UMNO sudah termaktub dalam perlembagaan parti. Jangan terperdaya dengan fitnah yang sengaja ditimbulkan untuk melemahkan semangat ahli dan menggugat parti," tegasnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami