Seorang perwakilan Ulama PAS dari Perak hari ini mendesak pemimpin kanan parti itu melepaskan jawatan sekiranya tidak mahu lagi menyokong Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Berucap dalam satu sesi perbahasan pada Multaqa Ulama PAS kali ke-2, Sidek Noor menyelar timbalan parti serta naib presiden dan beberapa ahli jawatankuasa pusat kerana sering bertindak membelakangi Abdul Hadi.

Sebagai contoh, katanya ketika PAS sedang memperjuangkan hudud, ada pula di antara ahli jawatankuasa pusatnya yang turun ke kampung-kampung untuk menyatakan bahawa belum tiba masanya untuk melaksanakan hukum berkenaan.

"Mereka tidak layak memegang jawatan timbalan, naib dan ahli jawatankuasa PAS Pusat sekiranya tidak membantu presiden... lebih baik lepaskan jawatan," tegas beliau.

Selain itu, Sidek turut memberi contoh ketika isu perlantikan Menteri Besar Selangor tahun lalu di mana dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS telah ingkar dengan keputusan PAS dan pendirian presiden dengan menyokong Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar.

Beliau turut mengkritik beberapa barisan ke‎pimpinan Pakatan Rakyat yang dilihat banyak menyerang Abdul Hadi dan dasar-dasar parti terutama sekali mengenai hudud.

Beliau menyifatkan tindakan pemimpin-pemimpin tersebut sebagai 'kurang ajar'.