KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mengumumkan keluar parti memberi tamparan hebat kepada Parti Warisan (Warisan) dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, pergolakan dalaman parti Warisan itu juga dilihat sebagai dugaan buat kepimpinan parti yang mahu melebarkan sayap ke Semenanjung pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

"Sudah pasti ini merupakan tamparan hebat buat Warisan dalam usaha mereka bekerjasama dengan Muda dan melebarkan sayap ke Semenanjung.

"Bagaimanapun, saya percaya dugaan ini dapat diharungi pucuk pimpinan parti selain Warisan ada langkah dan strategi untuk menangani dugaan tersebut," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Selain itu, Kuok Tiung menjelaskan, Warisan tidak ketandusan pemimpin memandangkan parti itu mempunyai pelapis yang boleh menggantikan para pemimpin yang keluar meninggalkan parti itu.

Melihat kepada tindakan Mohamaddin yang merupakan ADUN Segama sekali gus Ahli Parlimen Lahad Datu yang sinonim dengan kubu kuat Warisan, Kuok Tiung menjelaskan Warisan tidak mempunyai masalah untuk mencari pengganti untuk menggantikan kedudukan Mohamaddin.

"Saya percaya sebuah parti itu bukan hak milik seseorang mahupun pemimpin. Saya percaya Shafie dan Warisan emmpunyai banyak barisan pemimpin pelapis yang boleh menggantikan pemimpin yang telah keluar dari Warisan," katanya.

Ditanya mengenai pendedahan Mohamaddin yang menafikan wujud unsur pembelian wakil rakyat hingga beliau meninggalkan Warisan, Kuok Tiung berkata, kebanyakan tindakan lompat parti dalam kalangan pemimpin di Sabah adalah disebabkan 'politik pembangunan' dan bukannya politik wang.

Pada Sabtu, Mohamaddin pada satu sidang media di sebuah hotel di Kota Kinabalu mengumumkan meninggalkan Warisan dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).