KUALA LUMPUR: Wakil pemimpin Pakatan Harapan (PH) dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri pada pukul 2 petang Rabu.

Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan memaklumkan pertemuan atas jemputan Pejabat Perdana Menteri itu disertai oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam perkembangan sama, Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan telah memutuskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama kesemua parti pembangkang dalam masa terdekat.

Ia termasuk menjemput mereka untuk menyertai atau bekerjasama dengan PH.

"Ini selaras dengan ketetapan Pemukiman Kepimpinan PH di Port Dickson pada bulan April yang menyatakan keterbukaan Pakatan Harapan berunding dan bekerjasama serta menggembleng seluruh tenaga di bawah konsep ‘Khemah Besar’ demi memantapkan blok pembangkang merangkumi 105 Ahli Parlimen," demikian menurut kenyataan itu, hari ini.

Mengulas lanjut, Majlis PH berkata pertemuan tersebut antara lain akan membincangkan isu-isu politik semasa serta persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September ini, termasuk berkait undi percaya terhadap Perdana Menteri.

BACA: Ismail Sabri mulakan tugas secara rasmi sebagai PM hari ini

BACA: Pengumuman barisan kabinet dijangka minggu ini

Jelas kenyataan itu lagi, fokus PH adalah ke arah menjadi pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina serta bertanggungjawab.

Selain, membentangkan cadangan-cadangan alternatif yang bersesuaian kepada dasar-dasar kerajaan terutama berkait usaha menangani COVID-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tambah Majlis Presiden PH. 

"PH akan mengutamakan reformasi institusi termasuk Parlimen, reformasi fiskal, reformasi perundangan termasuk Undi18 dan Akta Anti Lompat Parti, penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara (PPN), serta menegaskan kebebasan sistem kehakiman yang tidak patut dikacau ganggu oleh mana-mana pihak," menurut kenyataan itu.

PH juga katanya, akan mempertimbangkan jemputan Ismail Sabri untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Perkara itu bagi memastikan ia dibuat secara ikhlas untuk menangani pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi serta bukan sekadar tangkap muat atau menjadi ‘rubber stamp’ kepada pandangan kerajaan semata-mata.