IPOH:Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima menghadap tiga pengerusi parti yang mewakili Pakatan Harapan (PH) esok susulan kemelut politik di negeri ini.

Menurut sumber kepada Astro AWANI, mereka yang diperkenan ialah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi.

Kesemua mereka dijadual menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di sini pukul 11 pagi esok (Sabtu).

Perkenan itu dibuat Sultan Nazrin seiring duluan (precedent) sebelum ini termasuk sewaktu pembentukan Kerajaan Negeri Perak pada 2018 dan krisis politik awal tahun ini. 

Sultan Nazrin akan menerima menghadap pemimpin-pemimpin parti untuk menerima maklum berkait sokongan dan gabungan yang bakal dibentuk, sebelum baginda melantik seseorang menjawat jawatan Menteri Besar.

Buat masa ini, Ahmad Faizal masih kekal menjadi Menteri Besar bagi Kerajaan Negeri Perak sementara atau 'caretaker government'. 

Menjadi persoalan ketika ini ialah bentuk gabungan yang bakal dibentuk bagi Kerajaan Negeri Perak yang baharu.

Pas menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata partinya tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan Perak yang baharu.

"Selaras dengan keputusan ini, Pas Pusat membuat ketetapan tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri baharu.

"Pas akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional," katanya.

Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas menyokong usul keyakinan majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak yang berlangsung hari ini selaras pendirian dibuat oleh Lajnah Politik Pas Pusat.

Di pihak UMNO pula, parti itu menggesa agar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak dikekalkan.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Undi Percaya DUN Perak - Siapa MB baharu?

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendirian bahawa Bersatu dan Pas perlu terus bersama-sama untuk mendukung Kerajaan Perikatan Nasional di Perak.

“UMNO berpendirian bahawa Kerajaan PN di Perak mestilah dikekalkan. Semua Exco Kerajaan Negeri juga mesti diteruskan. UMNO juga berpendirian bahawa Bersatu dan Pas barus bersama mendukung Kerajaan PN Negeri Perak,” kata Ahmad.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula menzahirkan rasa kesal berhubung situasi yang berlaku dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

"Biro Politik Bersatu dalam mesyuaratnya petang ini menzahirkan rasa amat kesal dengan apa yang berlaku dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada hari ini.

"Bersatu ambil maklum bahawa Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap YAB Menteri Besar Perak telah ditolak oleh UMNO dan Pakatan Harapan," kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan media.