TIDAK dapat dinafikan bahawa pandemik COVID-19 menular dengan begitu pantas sekali. Pada awal bulan Februari 2020, jumlah kes COVID-19 yang hanya mencatatkan 25 sahaja kini telah melonjak tinggi kepada 792,693 kes pada 6 Julai 2021. Dalam masa yang sama, UK mencatatkan angka sebanyak 35 juta orang dan United Kingdom dengan 4.5 juta orang. Manakala, angka kematian akibat jangkitan COVID-19 di Malaysia menyaksikan kadar kematian kepada purata 60 orang sehari di Malaysia bagi tempoh masa tersebut. Walaupun angka kebolehjangkitan dan kematian ini rendah berbanding di Amerika Syarikat dan United Kingdom, namun kenaikan kadar ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Apatah lagi, jumlah kes baharu di Malaysia terus mencatatkan kenaikan pada kadar purata 4,000 kes sehari.

Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, pandemik ini hampir berjaya dikekang akan penularannya berbanding dengan Malaysia. Malaysia masih menghadapi pelbagai halangan dan cabaran dalam membanteras penularan pandemik ini. Yang pastinya, jumlah kes baharu jangkitan COVID-19 dijangka akan terus meningkat, sekiranya rakyat Malaysia, khasnya ahli-ahli politik tidak memainkan peranan secara bersepadu dalam usaha mencegah penularan pandemik COVID-19.

Di pihak kerajaan, pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan dalam usaha mencegah pandemik COVID-19. Antaranya ialah, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 yang mendapat sambutan memberansangkan daripada rakyat Malaysia. Sehingga kini, hampir 16 juta rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. Program tersebut juga berjalan dengan lancar dan berjaya melaksanakan suntikan vaksin kepada 100,000 sehari dan sehingga kini lebih daripada 4 juta orang rakyat, termasuk warga emas berjumlah 2 juta dan kumpulan OKU berjumlah 120,000 telah menerima suntikan vaksin. Pihak kerajaan juga menjangkakan kadar orang ramai menerima suntikan vaksin akan meningkat kepada 150,000 orang sehari dalam masa yang terdekat, malah 80 peratus rakyat Malaysia dijangka akan menerima suntikan sebelum akhir tahun ini.

Dalam Program Imunisasi COVID19 ini, kerajaan Malaysia menggunakan vaksin jenis yang diiktiraf oleh badan antarabangsa seperti Pfizer (Amerika Syarikat), Sinovav (China) dan Astrazeneca (Korea Selatan, Jepun dan Thailand). Bukan sahaja Malaysia, bahkan banyak negara di dunia menggunakan ketiga-tiga vaksin tersebut digunakan tanpa was-was. Bahkan, vaksin Sinovac dari China digunakan di negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Turki dan Indonesia. Malahan EU sendiri mengakui vaksin Sinovac.

Meskipun pihak kerajaan hampir berjaya melandaikan graf kebolehjangkitan, namun kemunculan varian baharu iaitu Delta mengundangkan masalah baharu di Malaysia. Jenis varian ini merupakan jenis yang merebak dengan mudah, lebih berbahaya dan mudah menjangkiti tanpa mengira umur. Jenis ini dipercayai telah tersebar luas di India, UK dan Australia sebelum ini. Di samping itu, satu lagi varian baharu iaitu Lambda yang didakwa dari negeri Peru turut menular di Malaysia dan dikatakan telah menjangkiti orang ramai di 29 negara termasuk UK.

Sehubungan dengan ini, bukan sahaja rakyat perlu lebih berwaspada, malah ahli-ahli politik termasuk Ahli-Ahli Parlimen juga harus tampil ke hadapan demi membela kebajikan dan kesihatan rakyat. Mereka harus bersama-sama dengan kerajaan dalam menjayakan program Imunisasi COVID-19. Mereka harus mengenepikan isu perbalahan sesama sendiri dan memfokuskan terhadap usaha pengekangan pandemik ini. Mereka perlu menggalakkan rakyat di kawasan masing-masing menepati SOP, membantu dalam menyediakan kemudahan seperti kemudahan pengangkutan untuk orang kurang mampu ke pusat-pusat vaksinasi seperti disediakan oleh Presiden MIC, Tan Sri SA.Vigneswaran di kawasan parlimen Sungai Siput, Perak. Malahan, Ahli-Ahli Parlimen juga boleh menyediakan kemudahan pusat vaksinasi bergerak di kawasan masing-masing seperti Moblie Truck My Medic@Wilayah Vaccine Trucks yang disediakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan.


*M.Periasamy merupakan penganalisis politik MIC dan pensyarah komunikasi strategik di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR)

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.