KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dimohon menarik semula gelaran Tan Sri yang dianugerahkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan kenyataan beliau mengenai rancangan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.  

Menurut Naib Ketua Pemuda Amanah, Abbas Azmi, kenyataan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional itu disifatkan sebagai biadab atas titah Yang di-Pertuan Agong mengenai kestabilan politik di negara ini.

"Seharusnya sebagai seorang ahli politik yang senior, seorang berimejkan Islam, dipanggil Tuan Guru, (sepatutnya) sama-sama membina negara, membantu memulihkan keadaan negara demi rakyat dan bukan gila kuasa yang mahu menjatuhkan kerajaan.

"Lebih tambah biadab, dia kata tidak ada siapa boleh menghalang jika berlaku pertukaran kerajaan.

"Sedangkan titah Tuanku sendiri yang meminta semua Ahli Parlimen menumpukan pembangunan negara tetapi Haji Hadi ini sangat biadab ke bawah Duli Tuanku, sanggup keluarkan kenyataan di mana tiada siapa boleh menghalang pertukaran kerajaan," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Memorandum Kebiadaban Ahli Parlimen Marang itu di Istana Negara di ibu negara pada Rabu.

Tukar kerajaan melalui pilihan raya, bukan SD - Mat Sabu


Memorandum terbabit antara lain turut terkandung gesaan agar gelaran Tan Sri oleh Ahli Parlimen Marang itu ditarik semula.

"Justeru dalam memorandum ini kami mohon Tuanku mempertimbangkan permintaan ini supaya ditarik balik gelaran Tan Sri yang telah dianugerahkan kepada Haji Hadi pada tahun lepas," jelas Abbas lagi.

Sebelum ini, Hadi dilaporkan berkata tindakan menjatuhkan kerajaan adalah biasa dalam politik.

Malah jelasnya, PN berhak meneruskan rancangan menumbangkan Kerajaan Perpaduan meskipun ada pihak meremehkan perkara itu.

PN akui berusaha 'tumbangkan' Kerajaan Perpaduan